Maka kelihatanlah di sebelah barat, bayang – bayang hitam. Sepasukan tentera keluar dengan lengkap alat senjata. Di belakangnya berbaris para pahlawan yang berwajah gelap tidak mengenal kasih.
“Kita yang mesti lebih berkuasa.” Demikian raja yang ditakuti berseru. “Kita mesti rampas benteng musuh yang sengaja menghalangi – halangi langkah cita – cita kita, merampas kemerdekaan kita, mereka ingin berkuasa sendiri sahaja di negeri ini.”
“Mari…..maju ke muka jangan mundur.”
Maka terdengarlah sorak sorai mereka; balatentera hitam itu maju ke medan perang dengan dahsyatnya. Debu menjulang ke udara. Bendera berkibar – kibar. Hujung lembing dan tombak di tangan seldadu berkilat kerana cahaya matahari. Kuda – kuda yang liar dan gembira itu membuih air liurnya melompat ke sana ke mari, seakan – akan sudah tidak dapat ditahan.
Di tepi langit sebelah timur, di tempat fajar akan menyinsing, kelihatan dengan samar – samar balatentera berpakaian serba putih, beribu – ribu pula banyaknya, dipimpin pula oleh berpuluh – puluh pahlawan yang wajahnya jernih.
Di depan sekali kelihatan Maharaja yang sangat mereka cintai. Wajahnya sangat jernih dan sangat tenang. Kemudian balatentera berbaris rapat mendengarkan pidato yang beliau ucapkan:
“Kita mesti membela negeri ini dari kerosakkan.” Kata raja memulai bicaranya. “Pada kita tidak ada sifat menyerang, bukan seperti tentera yang hitam itu. Kita tidak boleh membiarkan langkah mereka terlanjur, kita harus memberhentikannya dengan cara menangkis membela diri. Kita jaga negeri ini dari kerosakkan yang akan dibawa oleh tentera hitam. Jika kita menang maka Raja tentera hitam akan jadikan kita tawanan, begitu juga pahlawan – pahlawan perangnya. Rajanya tidak akan dibunuh. Raja seperti dia perlu ada dalam kerajaan, tetapi tidak boleh berkuasa. Kerana kalau dia berkuasa, rosak binasalah negeri ini.
Di kalangan pahlawan perangnya ada yang akan dibiarkan hidup, dan akan dirantai, akan tetapi banyak pula yang akan dibunuh mati, tidak diberi ampun, kerana hidupnya sangat berbahaya bagi kerajaan. Jika kita yang memegang negeri, percayalah negeri in akan aman, tidak akan terjadi perselisihan dengan negeri yang lain.”
Mendengar ucapan raja yang dicintainya itu, seluruh balatentera bersorak: “Hidup raja kami.”
“Oleh kerana itu, bertahanlah wahai rakyatku, jangan mundur, sebab kalau kita mundur pasti negeri ini akan rosak. Kerana tentera hitam tiada mengenal kasihan, tidak mengenal akibat yang akan datang di belakang. Mereka merasa amat berhak di dalam negeri ini. Perbendaharaan negeri akan rosak, walaupun mula – mulanya kelihatan baik.
Ingat rakyatku! Kalau ada dua orang pembesar dalam suatu negeri, salah satu mesti jatuh. Kalau saya yang jatuh, saya yakin negeri ini hancur dan binasa selama – lamanya. Pertahankan dengan seluruh jiwamu. Kibarkan bendera dan panji – panji. Bunyikan gendang perang!”
“Rebut! Rampas! Halau tentera putih! Sehingga kita sahaja yang berkuasa.” Seru raja hitam.
Tidak beberapa saat kemudian terjadilah pertempuran yang sangat hebat di antara kedua barisan itu. Belum tentu yang mana yang akan menang dan mana yang akan kalah....
p/s: sahabat2, siapa yang akan menang? Pahlawan putih atau tentera hitam? Macam mana keadaannya dengan negeri yang ingin dikuasai itu? Siapa akal, siapa hawa nafsu? Bagaimana dengan pahlawan2 putih dan tentera2 hitam? Apakah yang akan terjadi pada Maharaja Putih dan Raja Hitam?
Ingatlah: Jika berlaku pertandingan antara akal dan hawa nafsu, maka akal itu akan dibantu oleh Allah, oleh hidayah Allah dan nafsu dibantu oleh fitnah syaitan.
Rujukan : Solat istikharah; Panduan Membuat Pilihan; Muhammad Isa Selamat ; Penerbitan Darul Nu’man.
Jom berkelana mencari makna sebuah persinggahan.....
Jangan Mudah leka Kawan
Jangan Mudah alpa Kawan
Jangan Mudah lupa Kawan
Kita Makhluk tuhan
Hidup hanya Sebuah Persinggahan
Jangan Mudah alpa Kawan
Jangan Mudah lupa Kawan
Kita Makhluk tuhan
Hidup hanya Sebuah Persinggahan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan