
Daripada Abu Zar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda :
Maksudnya : “Berfikirlah kamu berkenaan makhluk Allah dan jangan kamu berfikir berkenaan Allah nescaya kamu binasa.”
Takhrij hadis
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu al-Sheikh dalam kitab al-A’zamah dan al-Manawi dalam Faidh al-Qadir 3/262-263. Hadis hasan dengan jalan dan syawahidnya.
Dalil lain
AL-QURAN
1. “Tidakkah kamu perhatikan Sesungguhnya Allah Telah menundukkan untuk (kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin. dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.” [Luqman:20]
2. “Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? tidak ada yang menahannya (di udara) selain yang Maha Pemurah. Sesungguhnya dia Maha melihat segala sesuatu.” [al-Mulk:19]
HADIS
1. Al-‘Amasy daripada Amr bin Murrah berkata bahawa Nabi s.a.w. telah melalui satu kaum yang sedang bertafakur, maka baginda bersabda kepada mereka : Maksudnya : ‘Berfikirlah kamu mengenai makhluk, dan jangan memikirkan Zat Allah.’
2. Hisyam bin Urwah daripada ayahnya, ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya : ‘Sesungguhnya syaitan datang pada seseorang daripada kamu lalu bertanya: ‘Siapakah yang menjadikan langit?’ Dijawab: ‘Allah.’ Lalu bertanya: ‘Siapakah yang menjadikan bumi?’ Dijawab: ‘Allah.’ Lalu bertanya: ‘Siapakah yang menjadikan Allah?’ Maka apabila merasa sedemikian maka segeralah berkata: ‘Aku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.’’
Sumber:Himpunan Hadis Modal Insan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, Telaga Biru Sdn. Bhd., Mac 2007.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan